TEATER "LORONG NERAKA'
 

SINOPSIS :

Lorong Hj Taib nerupakan tempat yang sering kita semua anggap sebagai lorong gelap dan menakutkan. Tempatnya menjijikkan dan manusia yang tinggal disekitar kawasan itu dianggap sebagai manusia manusia yang jahat dan kotor.

Ceritanya berkisarkan tentang kehidupan manusia yang lahir dan dibesarkan di situ. Meskipun kotor atau jijiknya dimata orang tetapi mereka harus menelannya dengan kemanisan. Mereka ini akan sentiasa menunggu dan berharap lorong yang dianggap neraka ini akan bertukar menjadi syurga buat mereka. Kesakitan, keperitan dan kemanisan hidup disitu mewakili semua golongan dari seorang kanak-kanak yang lahir dan dibesarkan disitu kepada peniaga-peniaga, penagih-penagih dadah, pelacur, penjual dadah, pengemis dan ramai lagi.

Aishah (8 tahun) lahir dan dibesarkan disitu. Emak dan ayahnya peniaga warung di tepi Lorong Hj. Taib. Mereka tinggal di tingkat 1 rumah kedai disitu manakala tingkat 2 disewakan kepada pelacur-pelacur dan Yasir abang Aishah tinggal ditingkat 3. Yasir adalah "pusher" besar disitu. Ramai penagih yang akan membeli dadah darinya. Aishah juga mempunyai seorang kakak bernama Fatimah.

Setiap hari, Aishah akan berdepan dengan segala kemaksiatan yang berlaku dilorong itu. Dia terpaksa berdepan dan melihat bagaimana Jamaliah meraung-raung menangis kerana suaminya Ghani menjualnya menjadi pelacur disitu, dia juga akan melihat Milda dan kawan-kawannya (pondan) menjalankan perniagaan menggoda dan melanggan lelaki yang dahagakan kepuasan, dia juga akan melihat bagaimana nasib penagih-penagih dadah bergelimpangan ditepi longkang kerana tidak ada arah dan tuju, dia akan melihat setiap bulan penduduk disitu akan lari bertaburan apabila DBKL atau Polis datang serbu dan banyak lagi yang akan dilihatnya setiap hari.

Semua yang dilihat dan didengarnya akan dikongsi bersama seorang rakan karibnya Saiful (11 tahun) yang bekerja sebagai penolak troli buah. Saiful anak luar nikah kepada seorang pelacur yang sudah agak berumur disitu. Dia tidak bersekolah kerana maknya tidak mampu. Aishah bukan sahaja kawan karib Saiful tetapi cikgu yang mengajar Saiful mengeja dan membaca. Aishah beruntung kerana dapat bersekolah dan ilmunya itulah yang cuba diturunkan kepada Saiful. Cita-cita Aishah sangat tinggi. Dia mahu menjadi menteri apabila besar nanti kerana dia sangat percaya dengan kuasa dan pangkat sebagai menteri, dia akan mampu menukar lorong neraka ini kepada syurga buat semua penghuni yang tinggal disitu. Itulah harapan dan impian Aishah.

Manakala Fatimah kakak Aishah, sudah jemu dengan kehidupan disitu. Tempat itu adalah neraka jahanam buat dia kerana hidupnya hancur disitu. Fatimah diperkosa oleh Ghani tanpa pengetahuan sesiapa. Pengalaman ngeri itu membuat dia menjadi dendam kepada tempat itu. Kerana itu, Fatimah selalu mengingatkan adiknya Aishah supaya tidak bermain dikawasan itu. Dia mahu adiknya menjadi manusia yang berguna dan mampu menukar tempat hitam ini menjadi tempat yang bersih dan aman bila Aishah besar nanti. Emak dan ayah Fatimah tidak pernah mahu mengerti segala kesakitan yang dipendam oleh Fatimah kerana mereka sibuk mencari rezeki siang dan malam. Buat mereka, apa juga bentuk kerja adalah sumber rezeki yang diberi oleh Tuhan. Tekanan demi tekanan menyebabkan Fatimah jarang berada dirumah. Dia banyak menghabiskan masa diluar bersama kawan-kawannya. Fatimah sangat benci pada suasana dilorong itu.

Mereka yang tinggal disini kebanyakannya terpaksa menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal. Masing-masing berlumba untuk menyara sebuah kehidupan. Keadaan menjadi tegang apabila satu hari Fatimah dijumpai terlentang di tepi lorong itu di dalam keadaan "overdose". Rupa-rupanya Fatimah telah mencuri dadah dari bilik Yasir kerana kecewa dengan hidupnya. Dia sudah tidak sanggup menahan kesakitan yang sudah sekian lama dipendamkan. Barulah emak dan bapanya sedar bahawa Fatimah juga penagih dadah manakala kematian Fatimah membuat Yasir tersedar kerana sebelum ini dia banyak membunuh anak bangsanya sendiri dengan menjual dadah kepada mereka. Hari ini Yasir menjadi pembunuh kepada adik kandungnya sendiri.

Apakah kejadian itu mampu merubah hidupnya Yasir dan emak ayahnya. Atau perubahan berlaku hanya kerana keterpaksaan berdepan dengan kerajaan yang telah merobohkan tempat itu untuk membuat pembangunan yang lebih canggih.