Pusat
Pelancongan Malaysia (MTC) terletak di dalam sebuah
bangunan yang terkenal sebagai satu mercutanda bersejarah
dan salah satu hasil senibina yang terkemuka di Kuala
Lumpur. Bangunan utama Kompleks ini didirikan pada tahun
1935 sebagai kediaman seorang jutawan perusahaan lombong
dan ladang yang bernama Eu Tong Seng. Seperti juga bangunan-bangunan
yang lain pada masa itu, bentuk rekaannya banyak menunjukkan
ciri-ciri pengaruh senibina kolonial.
Pada
tahun 1941, ia digunakan sebagai ibupejabat tentera
British. Tidak lama kemudian, apabila Jepun menakluki
Malaya, ia dijadikan ibupejabat tentera Jepun sehingga
tamatnya Perang Dunia Kedua pada tahun 1945. Apabila
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu mengambil
alih bangunan tersebut pada tahun 1956, sebuah dewan
persidangan telah dibina sebagai tambahan kepada bangunan
asal. Dewan ini dinamakan Dewan Tunku Abdul Rahman
sebagai penghormatan kepada Perdana Menteri yang pertama
iaitu Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj.
Beberapa
peristiwa bersejarah sering diadakan di sini termasuk
Persidangan Parlimen Persekutuan Tanah Melayu yang
pertama pada tahun 1959 dan juga upacara-upacara pertabalan
Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Agong yang Pertama,
Ketiga, Keempat dan Kelima. Bangunan utama Kompleks
tersebut pula digunakan sebagai Balai Seni Lukis Negara
sehingga ia dipindahkan ke lokasi baru.
Pada
tahun 1988, beberapa kerja pengubahsuaian telah dijalankan
termasuk pembinaan dua anjung baru sebagai tambahan
kepada bangunan utama. Namanya pula ditukarkan kepada
Kompleks Penerangan Pelancongan atau Malaysia Tourist
Information Complex (MATIC). MATIC dibuka kepada orang
ramai pada pertengahan bulan Ogos 1989 dan merupakan
satu pusat yang menyediakan berbagai perkhidmatan
dan kemudahan bagi para pelancong. Selain dari membantu
mereka merancang lawatan di Malaysia, ia juga memberi
mereka kesempatan untuk melihat dan menikamati segala
daya tarikan Malaysia melalui beberapa pementasan
dan demonstrasi pelbagai aspek kebudayaan Malaysia.
Pada 16 Februari 2001, nama kompleks ini telah ditukarkan
kepada Pusat Pelancongan Malaysia atau Malaysia Tourism
Centre (Centre).