| |
Pusat
Pelancongan Malaysia atau Malaysia Tourism Centre terlebih
dahulu dikenali dengan nama Kompleks Penerangan Pelancongan
Malaysia (MATIC). Pertukaran nama ini dibuat pada 16
Februari 2001 sementara pelancaran logo baru telah dirasmikan
oleh YAB Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada 26 Oktober
2001. MTC merupakan satu bahagian di bawah Kementerian
Pelancongan yang diterajui oleh Y.B. Datuk Dr. Leo Michael
Toyad. Pusat ini telah dinaiktaraf menjadi 'One Stop
Centre' pelancongan yang menyediakan berbagai kemudahan
dan perkhidmatan dalam usaha untuk menarik lebih ramai
lagi pelancong samada dalam atau luar negara seterusnya
untuk mempertingkatkan lagi industri pelancongan negara.
Kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan adalah seperti
kaunter penerangan pelancongan, kaunter polis pelancong,
E-Portal Pelancongan, Saloma Bistro & Theatre Restaurant,
Pusat Kraft Saloma, Mesin ATM, Pengurup Wang, Bilik
Selasar Menunggu, Kaunter Tiket Bas Koc Eksekutif Transnasional
dan sebagainya.
Bangunan bersejarah ini terletak di
tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur dan lokasinya yang
amat strategik berhampiran KLCC (hanya 10 minit berjalan
kaki) serta dikelilingi oleh deretan hotel-hotel mewah
seperti Hotel Renaissance & New World, Concorde,
Crown Princess, Grand Maya, Sheraton Imperial, Mutiara,
Equatorial, Istana dan lain-lain lagi menjadikan MTC
sebuah pusat pelancongan yang mesti dikunjungi oleh
pelancong (a must visit centre). Pelbagai aktiviti menarik
telah disusun bagi sepanjang tahun termasuk aktiviti
tetap seperti persembahan kesenian muzik dan tarian
yang diadakan pada hari Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu
setiap minggu jam 3.00 - 3.45 ptg bertempat di Mini
Auditorium, MTC dan tiket masuk hanyalah RM 5.00 sementara
kanak-kanak di bawah umur 12 tahun percuma. Selain daripada
itu, pelancong juga boleh menonton filem Jepun bertempat
di Mini Auditorium pada minggu pertama dan ketiga setiap
bulan dari jam 4.30 - 6.30 ptg. Bagi penggiat dan penggemar
aktiviti seni dan budaya pula, MTC merupakan tempat
yang sesuai bagi pementasan berbagai aktiviti seni seperti
teater, simfoni/orkestra, persembahan tari, pertunjukan
dan pertandingan gasing dan sebagainya. Aktiviti-aktiviti
yang dirancang ini boleh dilihat di Papan Elektronik
yang terletak di pintu utama Pusat Pelancongan Malaysia.
Semenjak kaunter penerangan pelancongan
Malaysia beroperasi selepas majlis pelancaran logo barunya
serta penguatkuasaan MTC sebagai 'pick up point KL city
tour' akhir bulan Januari 2002, kedatangan pelancong
amat menggalakkan dan MTC komited dalam memberikan perkhidmatan
pelancongan yang berkualiti dan mesra pelancong selaras
dengan objektif Pusat Pelancongan Malaysia iaitu untuk
menjadikan pusat ini sebagai 'One Stop Centre' yang
unggul dan berdaya saing. |
|